Kelantan Bertegas Mahu Isu Royalti Minyak Dijelaskan Melalui Forum
KUALA KRAI, 9 Julai (Bernama) — Kerajaan PAS Kelantan bertegas supaya isu royalti minyak berjumlah RM1 bilion yang dituntut negeri itu dijelaskan melalui forum yang dianggotai wakil kerajaan negeri, Petronas dan kerajaan persekutuan.
Walaupun tidak menyatakan pendirian menolak atau bersetuju dengan keputusan kerajaan pusat untuk membenarkan Petronas menjelaskan perkara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri akan tetap menuntut haknya.
“Alasan kerajaan pusat kenapa kerajaan Kelantan tidak mendapat royalti minyak sangat pelik. Kawasan yang ada minyak kawasan bertindih tetapi kenapa beri pada orang lain.
“Kita akan terus tuntut hak rakyat Kelantan kerana perkara itu (royalti) memang wujud,” katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak cadangan PAS hari ini supaya isu itu dijelaskan melalui sebuah forum.
PAS mahu Petronas, kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan menyertai forum tersebut selepas kerajaaan pusat memberi kebenaran kepada syarikat petroleum nasional itu untuk menjelaskan mengenai royalti yang dituntut kerajaan negeri Kelantan.
“Perkara yang boleh menambah ilmu dan pengetahuan wajar dibuat melalui forum, wacana atau apa saja yang boleh menyedarkan rakyat,” tegas Mursyidul Am PAS itu.
Sumber: BERNAMA
Tinggalkan Jawapan