Posted by: manjanik | Februari 11, 2009

Siapa memahat sejarah menderhaka Raja?

Pemuda Umno menerusi Kerbau dari Rembau Khairy Jamaluddin semalam telah memberi amaran bahawa dia tidak boleh menahan anggota pergerakannya dari mengamok kononnya Raja telah diderhaka oleh YAB Dato Seri Nizar Jamaludin dan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat.

Terdengar pula ugutan dari pemimpin Umno agar YAB Dato Seri Nizar dibuang negeri dan Pengerusi DAP YB Karpal Singh dilucutkan Kerakyatannya kononnya mereka ini telah menderhaka terhadap Kebawah Duli Sultan Perak. Tidak dilupakan bahawa Umnolah yang melebel DYMM Sultan Mizan sebagai ‘Natang’ (binatang).

Petikan dari Blog Mokhtar Petah memberi gambaran sebenar pihak manakah sebenarnya yang menderhaka terhadap Raja. Cebisan Sejarah;

MENTERI BESAR PERAK UMNO KRISIS DENGAN SULTAN

Oleh: Mokhtar Petah

Mungkin Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Perak tidak mengetahui; semenjak dari negara di ambang kemerdekaan, negeri itu diperintah oleh dua peguam, peniaga serbuk kopi, peniaga getah dan paling lama berkrisis dengan Sultan. Menteri Besar pada masa negara di ambang kemerdekaan, seorang peguam, pejuang kemerdekaan bersama Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman, Dato Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Aziz.

Walaupun Tunku Abdul Rahman telah berharap, Haji Abdul Wahab akan memegang jawatan Menteri Besar selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, tetapi kerana ‘difitnah’ oleh rakan-rakan sepertinya, maka kemudiannya pejuang kemerdekaan itu dipecat dari UMNO. Fitnah tersebut, kononnya Haji Abdul Wahab sebagai Menteri Besar, telah meluluskan satu kawasan tanah untuk melombong bijih di Pusing, dekat Ipoh, kepada sebuah syarikat Cina.

Dalam kawasan tersebut terdapat kawasan tanah perkuburan orang Islam. Kononnya, Haji Abdul Wahab setelah mendapat fatwa dari Mufti, Dato Haji Ismail bin Hamzah – pejuang kemerdekaan juga, telah membenarkan tanah perkuburan itu diterokai yang mengakibatkan mayat lama dan baru dalam kubur-kubur di situ bergelimpangan atas bumi dan berbau busuk.

Sebenarnya semua mayat dalam kubur itu telah dipindahkan dengan cara yang baik ke kawasan tanah perkuburan di Papan, tidak jauh dari Batu Gajah, sebelum kawasan itu di teroka untuk melombong bijih. Haji Abdul Wahab adalah salah seorang anggota rombongan ‘rundingan kemerdekaan’ ke London, di ketuai Tunku Abdul Rahman.

Menteri Besar pertama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957, Dato Haji Mohd. Ghazali bin Haji Jawi (Lenggong), keturunan Melayu Pattani dan bekas inspektor Jabatan Parit dan Tali Air, di Sungai Manik, Perak. Memegang sijil Junior Cambridge. Ghazali telah ditimpa oleh satu ‘fitnah dan penganiayaan’ – kononnya dia telah melakukan perbuatan rasuah, dia telah ditangkap oleh pihak polis Perak.

Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman telah berunding dengan pihak Pendakwa Raya – persetujuan dicapai – , Haji Ghazali tidak dihadapkan ke mahkamah. Dia telah dilantik sebagai duta Persekutuan Tanah Melayu ke Republik Arab Besatu, Mesir.

Menteri Besar yang kedua(1963-1969), Dato Shaari bin Shafie (Jalong, Sungai Siput), keturunan Melayu Perak, pengilang dan peniaga kopi serbuk. Memegang Junior Cambridge. Pada masa Shaari memegang jawatan Menteri Besar, telah berlaku krisis dalam UMNO Perak kerana golongan UMNO Hilir Perak mahukan Encik Sulaiman bin Bulon dari Hilir Perak, memegang jawatan Menteri Besar. Di antara mereka yang menyokong Sulaiman Bulon, ialah Haji Mohd. Said bin Abdu Bakar dan Syed Othman bin Abdul Hami (Kuala Kangsar) dan sebilangan ahli UMNO Ipoh dan Hilir Perak.

Untuk menyelesaikan krisis, Tunku Abdul Rahman telah mengemukakan nama Sulaiman Bulon kepada Sultan Perak, Sultan Yussuff Izzuddin Shah, berkenan melantiknya untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Perak. Sulaiman Bulon telah memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Perak. Jawatan tersebut tidak termaktub dalam Perlembagaan Negeri Perak. Jawatan itu sebagai ahli (kanan) Majlis Kerajaan Negeri (Exco) sahaja Dato Haji Ahmad bin Said (Lenggong) – keturunan Melayu Pattani, pekedai getah. Tamat darjah enam Sekolah Melayu telah dilantik sebagai Menteri Besar yang ketiga(1969-1970) bagi Negeri Perak.

Tunku Abdul Rahman mahukan tokoh UMNO Hulu Perak, Sharif bin Babol (lepasan Sekolah agama Idrisiah, Bukit Chandan dan Ahyaus Syarif, Gunung Semanggul) menjadi Menteri Besar, tetapi kerana tekanan pihak Ghazali Jawi, maka Ahmad Said dilantik ke jawatan Menteri Besar. Dato Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa (Batu Kurau) – keturunan Melayu Pattanai –guru (TUOS) Sekolah Melayu di tempatnya dan orang kuat Pemuda UMNO Perak, menggantikan Haji Ahmad bin Said sebagai Menteri Besar Perak(1970-1974).

Tan Sri Ghazali Haji Jawi telah memegang jawatan Menteri Besar kali yang kedua (1974-1977). Haji Kamarudin dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kemudian duta Malaysia ke Arab Saudi. Sebelum Haji Ghazali dilantik oleh Sultan Perak, Sultan Idris Shah, satu golongan dari Pemuda UMNO Perak, yang terdiri di antara mereka, Abu Bakar Ashaari dan Abdullah Haji Mohamad telah menyokong Baginda yang enggan berkenan melantik Haji Ghazali.

Walaupun Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein mengemukakan nama Haji Ghazali bakal memegang jawatan Menteri Besar, tetapi Baginda tidak berkenan melantiknya dengan alasan ‘kes rasuah’ pada masa dia memegang jawatan Menteri Besar Perak kali pertama tidak dihadapkan ke mahkamah.

Rundingan dan muafakat pihak Presiden UMNO, iaitu dihului oleh Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Ishak bin Tadin dengan pihak Sultan Perak, Orang Besar-Besar, Datuk Othman bin Talib, bekas pegawai tinggi kerajaan, Raja Azam dan bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Ahmad Jamalullail, telah diadakan.

Mereka setuju Sultan melantik dan menandatangani watikah perlantikan itu ‘sementara’ Haji Ghazali akan memegang jawatan itu sekadar setahun sahaja, sementara Presiden UMNO mengemukakan calon baru untuk Menteri Besar negeri itu. Tetapi setelah Sultan melantik Haji Ghazali Jawi, Presiden UMNO tidak mengemukakan calon Menteri Besar kepada Sultan. Maka, timbul ‘cakap-cakap’ di kalangan UMNO dan menjadi bahan media, iaitu dalam perlembagaan tidak wujud artikel Sultan melantik ‘sementara’ ke atas seseorang yang menjadi Menteri Besar dan Sultan tidak berhak memecat seseorang yang memegang jawatan Menteri Besar.

Haji Ghazali terus berkuasa sebagai Menteri Besar. Banyak kerja untuk rakyat tidak berjalan lancar dan banyak keputusan mesyuarat Exco tidak diperkenan dan tidak ditandatangani oleh Sultan. Sultan Perak menyifatkan Perdana Menteri dan pihak UMNO Perak telah ‘memperdaya’ Baginda. Akibatnya telah berlaku krisis politik antara UMNO Perak dengan Sultan Perak. Ahli-ahli UMNO Perak telah berpecah dua – sebelah memihak kepada Presiden UMNO dan Haji Ghazali dan sebelah lagi memihak kepada Sultan Perak.

Pada masa itulah sebilangan dari ahli-ahli UMNO Perak mencerca, menyanggah dan menentang Sultan Perak. Sultan telah menggunakan beberapa orang wartawan sebagai saluran untuk Baginda bertindak dan memberitahu kepada orang ramai akan tindakannya. Sultan mengambil tindakan bernazar dengan menyimpan janggut, misai dan jambang, iaitu selagi Haji Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Besar, Baginda tidak bercukur.(Lihat buku Siapa Bakal Menteri Besar Perak, oleh: Mokhtrar Petah).

Kerana krisis antara UMNO dengan Sultan tidak selesai, maka Presiden UMNO, Tun Hussein Onn telah memberhentikan (tetapi dengan cara letak jawatan) Haji Ghazali dan telah mengemukakan Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Teh (Grik) – keturunan Melayu Patani, bekas kerani keretapi dan pegawai luar Jabatan Penerangan untuk mengganti Haji Ghazali.

Sultan telah berkenan melantiknya. Haji Wan Mohamed yang mengikut telunjuk Haji Ghazali Jawi dalam menjalankan tugas mengetuai Kerajaan Perak, telah berdepan dengan masalah krisis baru antara UMNO dengan Sultan. Dua perkara yang menyebabkan krisis sehingga Haji Wan Mohamed terpaksa meletakkan jawatan, iaitu pertama, kerana dia menentang Sultan Perak melantik ulama dari PAS, Haji Abdul Samad Noh (Padang Rengas) mengganggotai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak.

Yang kedua kerana orang-orang Wan Mohamed telah memukul seorang wartawan dalam sebuah coffee House di Bandar Ipoh. Wartawan itu sering menulis berita-berita mengenai krisis antara UMNO dengan Sultan. Kerana krisis itu, maka Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam telah campur tangan. Musa Hitam dengan persetujuan Dr. Mahathir Muhamad telah mengemukakan peguam, ahli Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah), Encik Ramli Ngah Talib – keturunan Melayu Aceh, untuk menjadi Menteri Besar yang ketujuh bagi Negeri Perak.

Pada zaman Ramli Ngah Talib Negeri Perak telah membangun dengan pesat. Dato Tajol Rosli (Lenggong) anak kepada Tan Sri Ghazali Jawi mengambil alih jawatan Menteri Besar dari Ramli Ngah Talib yang menjadi ahli Dewan Rakyat (Pasir Salak) dan kemudian Speaker Dewan Rakyat. Pilihan Raya Umum ke-12, seorang jurutera, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) telah mengetuai kerajaan Perak.

Bekas Yang Dipertua parti politik – Hizbul Muslimin, Allahyarham Ustaz Abu Bakar Al Baqir dalam percakapan dengan saya di Ipoh, katanya, “ …enta tengok, pada satu masa nanti orang parti Islam (PAS) akan menjadi Menteri Besar.”

Sumber:http://margeemar.blogspot.com/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: