Posted by: manjanik | Februari 8, 2009

Penjelasan Nizar : Tiga Cara “Lucut Jawatan”

BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri

secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

Menteri Besar Perak


Responses

  1. Amat tersentuh perasaan apabila Dato’ Nizar begitu tinggi kesabarannya dalam menghadapi situasi yang amat mencabar. Beliau sentiasa cool walaupun ucapannya sering berapi-api. Inilah dia pemimpin yang bakal mewarisi kepimpinan perjuangan dalam Jamaah Islam. Saya kagum dengan sikap serta kebijaksanaannya dalam menangani suasana di Negeri Perak.

    Perkara penting yang harus di ingat oleh semua pihak adalah mengikut undang-undang dan bukan atas dasar kepentingan politik pihak tertentu. Ikut undang-undang pasti masalah dapat di atasi. Apa yang berlaku satu pihak mengikut undang-undangn dan satu pihak lagi tidak. Keadaan kelam kabut ini di tambah dengan peranan media arus perdana yang mengapi-apikan menyokong pihak yang tidak mengikut undang-undang. Soalnya kenapa terjadi begitu ?

    Pilihanraya kecil Permatang dan Kuala Terengganu telah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat. Ini menyebabkan YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Ab Razak hilang kredebilitinya sebagai orang no 2 dan akan naik ke no 1 bulan march nanti. Keadaan ini pastinya menyebabkan YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Razak merasakan diri akan hilang sokongan dari rakyat. Justeru itu usaha pemulihan kredibiliti perlu di lakukan segera bagi memulihkan sokongan rakyat. Salah satu caranya menjatuhkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Maka berlaku lah apa yang berlaku sekarang. Namun YAB Dato’ Seri Najib bin Tun Ab Razak mungkin tidak menyedari bahawa usaha yang beliau lakukan telah menyebabkan rakyat semakin marah dan bukannya dapat memulihkan imejnya.

    Saya yakin kemelut di Perak hanya dapat di pulihkan hanya dengan cara menyerahkan kembali mandat kepada rakyat melalui pembubaran Dewan Undangan Negeri. Kalau kaedah lain, saya yakin bahawa rakyat akan semakin marah dan mungkin boleh membawa kepada tindakan yang agrresif. Rakyat amat tidak bersetuju pertukaran Kerajaan secara paksaan dan secara merompak yang akhirnya membawa kepada belakunya pertembungan kedua-dua penyokong.

    Sekali lagi saya merayu memohon suapaya DUN Perak di bubarkan dan adakan pilihanaray baru untuk memberi kepuasan kepada semua pihak.

  2. Sikap orang yang berilmu mmg cukup berbeza dengan orang yang kurang berilmu.
    Orang yg mengamalkan ilmu yg diperolehinya juga berbeza dengan orang yg ada ilmu tapi tak mempraktikkannya dengan sepenuh-penuhnya. Saya bangga kerana Ir Mohammad Nizar cukup tenang dan tabah dalam menempuhi segala rintangan dan ujian yg ALLAH berikan. Percayalah, sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama-sama dengan orang yg benar. Amiin.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: