Posted by: manjanik | Mac 4, 2009

Pokok.. Asal-Usul Kerajaan Di Dunia?

“Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Hai Adam, mahukah, aku tunjukkan padamu pohon yang menyebabkan kamu hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” (Taha: 120)

Petang yang suram. Awan yang muram sejak 4:30 petang tadi akhirnya melimpahkan amarahnya ke bumi. Saya yang bermotor ke Jalan Pahang terpaksa berkali-kali menukar jalan kerana beberapa laluan telah ditutup.

“Banjir!” kata seorang pegawai yang sedang mengawal lalu lintas. Akhirnya, dengan susah payah, saya pun melewati rumah pangsa Tunku Abdul Rahman yang usa ng itu.

Kilat galak menikam angin dan guruh menyergah bangunan tinggi yang selama ini berdiri angkuh mencakar langit. Dan petir pula seakan berbaris ketika meninju awan-gemawan dan sesekali menyambar udara.

Mencurah-curah hujan turun bagai suara langit telah lama ingin meluahkan dendamnya di bumi. Sampai di pejabat, terdengar pelbagai rungutan teman-teman di pejabat.

“Dengarnya cerita di Jalan Ipoh, dekat Chow Kitt semua kereta tenggelam,” kata seorang rakan. “Nampak bumbung kereta saja.”

Jangan-jangan, esok akan tersiar lagi laporan tentang hujan kilat petang ini. Dan, semua gambar kereta yang tenggelam hingga yang nampak bumbungnya itu akan terhias pada helaian tertentu di dada akhbar. Agak-agaknyalah.

Kezaliman.. kezaliman.. dan kezaliman.. Itulah sebabnya manusia dihukum Tuhan.. Nanti kita sama-sama tengoklah bagaimana corak laporan akhbar esoknya.

Menteri Pasola, kerajaan bawah pokok?

Lamunan terhenti setelah berbual dengan teman-teman di bilik berita. Seorang wartawati dan beberapa temannya memberi cadangan..”Bagaimana kalau awak tulis isu Perak?”

“Isu apa?” tanya saya kembali, terpinga-pinga. Ketika itu saya tak tahu apa-apa mengenai kerajaan di bawah pokok itu. Tak sempat membuka mana-mana akhbar edisi internet.

“Kerajaan bawah pokok yang diancam Menteri Pasola,” balasnya ringkas.

” Alah..macam cerita P. Ramlee tu..kerajaan Pasir Berdengung, kerajaan Pasir Dua Butir,” seorang wartawati lagi menokok dengan imbuhan syor terbaru.

Jendela akhbar-akhbar maya terus ‘diselak’, digeledah, diselongkar dan saya punggah isinya sana-sini.

Barulah saya faham sikit-sikit keadaan di Perak. Dan, apabila menonton Buletin Utama malam tadi, melihat Misbahul Munir Masduki berdoa di bawah pokok, maka fahamlah saya maksud mereka itu.

Lalu saya teringat pujukan Iblis ke atas Nabi Adam ketika Baginda dan isterinya berada di dalam syurga. Kata Iblis, pokok tersebut akan menyebabkan Adam hidup selama-lamanya serta Baginda akan diberikan kekuasaan yang berkekalan.

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, jika aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” (Taha: 120)

Tuhan merakamkan tipudaya, pujuk rayu Iblis terhadap Adam ini sebanyak dua kali. Kali kedua, Iblis menipu Adam sebagai yang tertera dalam nas di bawah:-

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua agar (dapat) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).”

Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Al-Araaf: 20-21)

Al-Quran menyebut bahawa Adam a.s telah diturunkan ke dunia kerana memakan sejenis buah di syurga. Ada riwayat menamakan buah itu sebagai khuldi. Jadi pokok itu tentunya pokok khuldi.

Tak diketahui apakah pokok khuldi itu wujud di dunia. Mungkin, jika ia wujud, namanya sudah bertukar mengikut nama-nama yang diberi oleh semua bangsa di dunia.

Ada sebabnya kenapa Adam makan buah khuldi itu walaupun ada penegasan Tuhan yang melarang Adam dan Hawa daripada mendekati pokok larangan itu. Ada cerita yang telah menyebut bahawa untuk kali pertama, Adam berjaya menepis godaan itu.

Akibatnya, Iblis menggoda Hawa. Jadi, dengan sebab lemahnya maka, dia pun memakan buah tersebut lalu merayu Adam a.s. Kalah dengan rayuan isterinya Hawa, maka Adam pun turut memakan buah tersebut.

Bagaimanapun, riwayat al-Quran lebih jelas, iaitu Adam kalah dengan bujukan rayu Iblis apabila Iblis menggunakan isu dan sentimen kekuasaan serta kehidupan yang berkekalan jika Adam mahu memakan buah daripada pokok tersebut.

Barangkali, kerana pokok dan buah itu ada kaitan dengan kuasa pemerintahan dan hidup yang berkekalan, maka nama pokok dan buah itu dinamakan ‘al-khuld.’ Kalimat itu ada persamaan dengan lafaz al-Khalid, bermaksud kekal.

Mungkin keinginan manusia untuk hidup kekal dan ingin memiliki kuasa yang kekal itu, memang sentiasa tersemat di hati manusia.

Pokok, kerajaan, kekuasaan dan kezaliman

Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan jadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.” [al-Baqarah: 35]

Tuhan menyebut, bahawa jika Adam mendekati ‘pokok kekuasaan’ dan ‘pohon kehidupan’ yang berkekalan itu nescaya dia akan menjadi orang-orang yang zalim. Ini tafsiran umum dan mungkin boleh diperbaiki.

Hal ini juga membuktikan bahawa apabila kita berhajat merebut pemerintahan, maka kita mungkin akan secara langsung membuat kezaliman untuk mendapat kuasa. Setelah dapat kuasa, mungkin kita cenderung melakukan kezaliman dengan kekuasaan itu.

Adapun niat dan tujuan awal melarikan dan menculik 3 orang Adun di Perak itu memang ada tujuan untuk merebut pemerintahan. Sebab itu untuk apa Umno bersusah payah untuk bersetuju dengan usul pembubaran Dun supaya diadakan pilihan raya negeri?

Memang sudah itu rancangannya. Memang sudah direncanakan betul-betul, mahu ambil tiga orang sahaja untuk menyebabkan wujudnya sebuah kerajaan negeri BN yang baru di Perak. Rugilah wang yang dibelanjakan untuk membeli Adun sebelum ini, kalau tiba-tiba terpaksa dibubarkan Dun untuk diadakan pilihan raya negeri.

Entah BN berjaya atau tidak jika dibuat pilihan raya sekali lagi? Jadi, kenapa Najib harus ambil risiko itu setelah 3 Dun itu ‘ngam-ngam’ dipilih, diculik dengan tujuan menubuhkan kerajaan baru di Perak?

Syura bawah pokok sunnah tradisi Melayu

Mesyuarat bawah pokok bukan perkara baru. Diriwayatkan, tatkala Parameswara berehat di sebatang pokok ketika melihat seekor pelanduk menendang anjing hingga jatuh, maka baginda bertanya kepada rakyatnya.

“Apa nama pokok tempat beta sedang berteduh ini?” tanya baginda.

“Ampun tuanku, kata orang inilah pokok Melaka,” balas bendahara.

“Jika demikian, beta namakan negeri ini sebagai Negeri Melaka,” demikian titah baginda. Itulah usul dan keputusan kali pertama yang dilakukan oleh seorang raja Melayu di bawah pokok. Tidaklah diketahui barangkali ada lagi usul-usul dalam mesyuarat ‘istana bawah pokok’ sebelum itu.

Tetapi, berdasarkan Sulalatus Salatin, inilah mesyuarat pertama yang diadakan di bawah pokok, di mana usulnya berlaku secara mendadak tiba-tiba, iaitu usul menamakan sebuah negeri baru yang ingin diperintah.

Setakat diketahui, inilah sidang mesyuarat ‘Dewan Undang Negeri’ yang pertama dilakukan sejak tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka yang akhirnya terkenal sebagai sebuah empayar yang gagah itu. Sebagai yang sedia maklum, Kesultanan Melayu Perak juga adalah lanjutan daripada Kesultanan Melayu Melaka itu.

Jadi, apa salahnya dengan mesyuarat di bawah pokok? Bukankah Raja Melayu Melaka yang pertama, asal-usul kepada kesultanan Melayu Perak telah lebih awal dalam membuat mesyuarat di bawah pokok?

Ketika mengarang ini, saya sedang menonton acara Hujah di TV9 yang menampilkan panelis Isa Samad, Zahid Hamidi dan dipengerusikan oleh Prof Agus Yusof. Ahmad Zahid Hamid, sebagai dijangka, telah mengecam mesyuarat di bawah pokok.

“Macam mana seorang speaker, pakai songkok, pakai jubah di tengah panas pulak tu?” kata Ahmad Zahid Hamidi dengan bongkaknya, penuh sindiran sinis, lalu disambut dengan tepukan orang-ramai.

Lalu, beliau membangkitkan isu hukum dan undang-undang mahkamah yang tidak membenarkan hal syura di bawah pokok itu berlaku.

Saya mahu mengulas isu ini daripada sudut ‘legally right, morally wrong’. Tapi, akan jadi panjang pula ulasannya. Biarlah sempadan perbahasan ini kita sambung dalam ruangan yang lain pula jika ada kesempatan, insya Allah.

Ipoh tu bukan nama pokok ke?

Umno jangan sesekali menghina segala peraturan mesyuarat, usul dan keputusan-keputusan yang diputuskan di bawah pokok.

Banyak nama tempat yang bermula daripada pokok atau buah-buah yang tentunya berasal daripada pokok. Selain Melaka, bukankah nama Bandaraya Ipoh itu juga berasal daripada nama pokok Ipoh yang mana getahnya itu dibuat racun?

Umno dan BN jangan hendaknya menjadi racun Ipoh yang akan merosakkan pemikiran rakyat di Perak dan Malaysia umumnya.

Di Kedah, ada nama Pokok Sena lalu dinamakan tempat itu sebagai Pokok Sena. Juga, di Kedah ada nama Pokok Tai yang didakwa orang dinisbahkan kepada bangsa Thai.

Hey.. Jangan dilupakan bahawa ada sebuah kampung di Selangor yang telah dilanggar Khir Toyo seperti dikatakan orang; bagaikan kampung dilanggar garuda.

Adapun, nama kampung yang telah dilanggar garuda di Selangor itu namanya Kg Berembang. Menurut sahibul hikayat, adapun nama kampung itu diambil daripada nama pokok Berembang.

Pokok Berembang (Sonneratia caseolaris) banyak terdapat di hutan Malaysia, dan ia dipercayai ada di kebanyakan negara Asean lain. Jika pokok rendah martabatnya, masakan nama-nama negeri dan perkampungan kita banyak dinisbahkan kepada nama pokok?

Ahli-ahli falsafah Greek, Yunani, Plato dan lain-lain ahli ilmu falsafah membuka kuliah dan kelas-kelas awal mereka di bawah pokok yang rendang untuk berteduh. Itu cerita ahli falsafah bersama murid-murid mereka.

Maka, selain keputusan mesyuarat diraja dibuat di bawah pokok, kuliah-kuliah terawal itu dikendalikan di bawah pokok sebelum terbinanya universiti yang lengkap dengan makmal dan imbuhan geran penyelidikannya pada hari ini.

Ahli-ahli rohani, agamawan, pembawa ajaran Tauhid, pembangun agama-agama besar di dunia juga ramai yang memulakan kegiatan pencerahan rohani mereka di bawah pokok. Gautama Buddha bertapa, bertafakur di bawah pokok bodhi untuk mencari pencerahan jiwa dan penjernihan karma.

Diriwayatkan pada suatu malam, ketika Nabi Musa berjalan bersama isterinya di padang pasir dari Madyan ke Mesir, baginda ternampak pokok berapi di atas Bukit Thursina.

Pokok ada kaitan dengan kerasulan?

Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), ia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu) berkatalah ia kepada isterinya: “Berhentilah; sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ, atau sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri.”

Maka ketika ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu (yang ada di situ): “Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam. [al-Qashas: 29 - 30]

Syahadan.. segala ahli falsafah, khalifah, sultan, raja-raja, agamawan purba, pembawa ajaran Tauhid, Nabi Musa dan ahli-ahli rohani adalah mereka yang telah merintis jalan rohani, pencerahan akal dengan mempertalikan perjuangan mereka dengan pokok.

Maka, janganlah sekalian orang-orang Umno memandang sinis kepada mesyuarat di bawah pokok, kuliah di bawah pokok, pertapaan, pertafakuran, uzlah di bawah pokok.

Setiap pemerintahan di bawah pokok itu mesti dihormati dan jangan diketawakan, kerana mereka berhimpun dan bermesyuarat dengan hasrat ingin menunjukkan semangat untuk berjuang membela kebenaran dan keadilan.

Yang patut dipecat, dibunuh adalah menteri pengkhinat yang menderhaka, bernama Pasola yang telah menculik puteri raja sebagaimana menteri hari ini yang menculik tiga Adun bertujuan merebut kekuasaan di Perak.

Ah! Bagaimanakah kita mahu membunuh Menteri Pasola yang sangat sakti, ampuh kekuasaannya dan kebal pula? Menurut ceritanya, buluh runcing telah digunakan lalu ditikam di telapak kakinya.

Err.. bukankah buluh runcing yang telah diraut tajam itu berasal daripada pokok juga? Pokok buluh namanya..

Maha Suci Allah yang telah menunjukkan keburukan Umno, menelanjangkan pekung mereka dan mengirimkan Umno kepada umat ini sebagai badut-badut terhormat untuk dijadikan bahan ketawa kepada umat Malaysia pada hari ini. Wallahu’alam..

Ali Bukhari Amir

11:33 p.m, 3 Februari

Sekolah Pemikiran Kg Baru

Sumber: Harakahdaily

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: