MANJANIK - Pembidas Minda

Entries from May 2007

Percayalah! Hanya Umno Daulatkan Islam

May 29, 2007 · 2 Comments

Kota Bharu: Dalam masa sebulan tiga orang pemimpin Umno Kelantan mengeluarkan kenyataan yang sama mengenai Islam dan Umno. Datuk Seri Panglima Annuar Musa selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ramzi Abdul Rahman, Setiausaha dan Datuk Mustapha Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi masing-masing bersetuju “hanya Umno sahaja yang memperjuangkan Islam” dan “hanya Umno sahaja yang mampu memertabatkan Islam”.

Tok Pha kata “Semua orang Melayu dan Islam sepatutnya berjuang di bawah Umno kerana matlamat perjuangannya jelas demi agama dan bangsa. Bagi saya sesiapa yang nak berjuang untuk Islam dan Melayu di Malaysia tak ada parti lain kecuali Umno”.

Pelik ke tak pelik ke itulah kenyataannya. Hanya Umno sahaja yang layak dan mampu mendaulatkan Islam. Bagi mereka bertiga dan juga mungkin yang lainnya sudah tentu tidak nampak orang lain memperjuangkan Islam. Umnolah segala-galanya.

Cuma berkata boleh sebarang kata. Bercakap boleh sebarang cakap akan tetapi biarlah apa yang dikata dan dicakapkan itu seiring dengan apa yang kita lakukan. Jangan sampai diketawakan oleh bayi yang masih belum tumbuh gigi sudahlah!.

Bagi mengesahkan apa yang diperkatakan oleh pemimpin Umno Kelantan itu maka saya terpanggil untuk membenarkan dakwaan mereka. Bersalah pula rasanya kalau tidak membuktikan kebenaran mereka.

UMNO terbukti memperjuangkan, menegakkan serta mendaulatkan Islam dengan faktor-faktor berikut;

1. Bagi tahun 2005 kerajaan Malaysia telah berjaya memungut sebanyak RM924juta hasil dalam bentuk cukai dan duti dari syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri judi yang di HALAL kan oleh kerajaan Malaysia. Manakala jumlah wang kemenangan yang telah dibayar oleh firma-firma judi ini kepada mereka yang telah bertaruh dan berjaya adalah seperti berikut:
2004: RM4.7 billion
2005: RM4.8 billion
Bermakna hasil judi memberikan sumbangan besar kepada pendapatan negara iaitu dengan hasil yang hampir mencecah RM1 billion setahun.

2. Setiap tahun, indeks jenayah rogol dan sebagainya telah bertambah dengan lebih besar. Pada tahun 2004, jenayah rogol telah bertambah sebanyak 16.8% kepada 1,718 kes daripada 1,471 kes pada tahun 2003 (statistik Polis DiRaja Malaysia) berbanding pertambahan penduduk yang hanya meningkat sebanyak 2.1%. Pada tahun 2005, kes rogol telah meningkat kepada 1,895 kes, peningkatan sebanyak 10.3% berbanding 2004 dan pada tahun 2006 pula, jenayah rogol terus meningkat kepada 2,238 kes, pertambahan sebanyak 18.1%. Jika dibandingkan, pertambahan penduduk hanya meningkat sebanyak 1.9% sahaja.

3. Jumlah kes jenayah ragut juga telah meningkat daripada 14,640 kes pada 2002 ke 15,798 kes pada 2003.

4. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis, bilangan jenayah kekerasan yang dilaporkan tahun 2005 adalah sebanyak 33,509 kes. Manakala pada tahun 2006 jenayah kekerasan ialah 42,343 kes iaitu peningkatan sebanyak 8,834 kes berbanding tahun sebelum ini. Pertambahan ini amat besar dan memberikan petunjuk bahawa kejadian jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, cabul kehormatan, samun sama ada menggunakan senajata api atau tidak, pemerasan, ugutan jenayah, merusuh dan mencederakan menjadi semakin tidak terkawal.

5. Peningkatan yang serupa juga dapat diperhatikan pada jenayah harta benda. Perangkaan tahun 2005 menunjukkan sejumlah 138,095 kes dilaporkan meliputi jenayah curi, ragut dan pecah rumah. Manakala Pada tahun 2006 sebanyak 156,299 kes telah dilaporkan meningkat sebanyak 18,184 kes.

6. Jenayah komersial pula mencatatkan 6,029 kes pada tahun 2005 dan 7,300 kes pada 2006. Jenayah komersial terbahagi kepada tiga kategori iaitu menipu, pecah amanah dan jenayah komputer.

7. Jenayah narkotik iaitu kes-kes yang berkaitan dengan pengedaran dan pemilikan dadah seperti mana yang dilaporkan pada tahun 2005 berjumlah 20,384. Pada tahun 2006 kes yang dilaporkan adalah sebanyak 19,914 menunjukkan sedikit penurunan tetapi tidak memberikan gambaran bahawa masalah dadah bukan lagi ancaman kepada negara dan masyarakat.

8. Dari 887 orang pelajar di Selangor yang dibuat kajian oleh Pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)Dr. Khaidzir Ismail hanya seorang sahaja yang mengatakan bahawa dia tidak pernah membuat hubungan sex.

9. Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyatakan bahawa kes buang bayi adalah sebanyak 83 tahun lalu, meningkat berbanding 65 kes pada 2000. Selangor mencatat angka tertinggi iaitu 22 kes pada 2000 dan 24 kes pada 2006. Daripada jumlah 83 kes dalam tahun 2006 di seluruh negara, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin.

10. Pada tahun 2005 seramai 7,453 pelajar dibuang sekolah, manakala 15,148 lagi digantung sekolah.

11. Statistik(2003) Polis Kuala Lumpur menunjukkan wanita Melayu yang menjadi pelacur sangat tinggi iaitu 60 peratus dan ada yang semuda 15 tahun, diikuti Cina dengan 30 peratus dan bangsa lain 10 peratus, termasuk kaum India dua peratus.

12. Profil penagih-penagih yang dikesan bagi tempoh 2006 adalah seperti berikut:
~ 97.94% lelaki
~ 70.46% Melayu
~ 71.76% terdiri daripada golongan belia dan majoriti adalah berumur antara 25-29 tahun
~ 79.23% berpendidikan hingga sekolah menengah (sekurang-kurangnya tamat tingkatan 3)
~ 89.89% mempunyai pekerjaan (majoritinya buruh am)
~ 62.92% merupakan penagih heroin/morfin, manakala penagih ATS dan pil psikotropik ( 12.67%)
~ 61.71% mengakui mula terjebak dengan dadah disebabkan oleh pengaruh kawan.

12. Statistik menunjukkan bahawa jangkitan HIV yang dilaporkan di Malaysia sejak 1986 hingga penghujung 2005 berjumlah 70,559 orang melibatkan 65,345 lelaki dan 5,214 adalah wanita.

Itulah beberapa perkara yang dapat dipaparkan betapa Umno telah berjaya dalam melaksanakan Islam dan memertabatkannya di negara ini. banyak lagi kes-kes yang tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara Islam tetapi telah berjaya di adakan oleh Umno. Syabas lah Umno.

Kepada Nuar Musa, Romzi dan Tok Pha, apabila membuat kenyataan janganlah sampai memalukan warga Umno Kelantan. Kita yang diiktiraf sudah cerdik janganlah sampai jadi kurang cerdik pula. Waras ke Tak waras????

Categories: Isu Rakyat

Nasib Masjid di Negeri Islam Hadhari

May 27, 2007 · No Comments

Rumah ibadat berharga RM5 juta bocor, kawasan dipenuhi semak, gelap pada waktu malam
Berita Harian edisi Timur melaporkan nasib malang sebuah masjid di Permaisuri Terengganu sudah cukup untuk menggambarkan segala-galanya tentang Islam Hadhari UMNO. “Masjid yang berharga RM5 juta yang dibina pada 1990-an pernah menjadi mercu tanda dan kebanggaan penduduk bandar ini, tetapi kini dibiarkan usang dengan kawasan sekitarnya tidak diselia dengan baik.

Tinjauan mendapati kawasan sekitar masjid dipenuhi semak, termasuk lalang dan tumbuhan liar, menggambarkan kerja pembersihan tidak dilakukan dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab.

Pada waktu malam pula, kawasan masjid yang sepatutnya terang dihiasi lampu, kini gelap selepas banyak peralatan elektrik tidak dibaiki walaupun masalah berkenaan sudah beberapa kali dimaklumkan pengurusan masjid kepada pihak berkuasa”.

Dasar Islam Hadhari bukan memakmurkan masjid tetapi membina sebanyak mana masjid. Ianya juga bukan ke arah membuka pintu masjid tetapi aktif menutup pintunya. Islam Hadhari yang UMNO taja lebih menyekat dari membuka peluang menimba ilmu. Mereka lebih suka masjid sunyi sepi dari adanya orang yang menyampaikan kuliah. Bahkan sanggup mengheret kemuka pengadilan orang yang memberi kuliah tanpa persetujuan UMNO.

Kerajaan BN Islam Hadhari Terengganu lebih mampu menghabiskan belanja RM260j untuk Monsoon Cup tetapi tidak mampu untuk memakmurkan masjid.

Seorang penduduk, Yusof Che Ibrahim, 44, dari Kampung Bukit Pelong, berkata beliau berasa kecewa kerana pengurusan masjid gagal melaksanakan tugas seperti diamanahkan.

“Kita sedih melihat bumbung bocor dan ada siling pecah, manakala kawasan persekitaran dipenuhi semak dan lalang,” katanya.

Jadi, apalah sangat diharapkan kepada BN Islam Hadhari. memakmurkan masjid tidak penting kepada mereka. Mereka hanya berlumba-lumba untuk membina masjid kerana dengan adanya projek membina masjid maka mereka akan dapat peluang menambahkan kekayaan masing-masing. Inilah  Islam Hadhari yang  sebenarnya….

Categories: Isu Rakyat

Benarlah BN itu “Barang Naik”

May 27, 2007 · 2 Comments

Apalah yang hendak disorak sorai, ketawa gembira dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan awam baru-baru ini kalau ianya juga diiringi dengan kenaikan harga barang-barang keperluan kita. Jangan jadi Pak Kadoklahh… malu kita nanti.

Dengan kenaikan RM300 contohnya, ianya berbaloi sekiranya harga barang kekal harga, tak naik. Akan tetapi sekiranya laporan akhbar-akhbar seperti di bawah ini di ambil kira, bagaimana?

Utusan Malaysia(26/5/07) - Milo ais RM1.80 di Terengganu.

Sinar Harian(26/5/07) - Harga makanan ayam pula naik dari RM60 hingga RM69.

- Roti canai naik 30 sen di Terengganu.

Utusan Malaysia - Tepung naik 15 sen - RM1.35 sekilo di Semenanjung, RM1.45 Sabah dan Sarawak.

Berita Harian(26/05/07) - Harga sayur, ayam naik mendadak

Berita Harian(25/05/07) - Harga barang basah meningkat

Berita Harian(24/05/07) - Ayam RM5.40 di Pasar Chow Kit

Berita Harian(24/05/07) - Restoran nasi kandar naik harga

Harian Metro(24/05/07) - Peniaga serba salah pemborong naikkan harga

Berita Harian(23/05/07) - Produk tenusu Dutch Lady naik 5 peratus

Berita Harian(16/05/07) - Harga makanan berasas tepung dijangka naik

Sekadar apa yang dititipkan itupun sudah memadai memperlihatkan kepada kita bahawa betapa “berlumba-lumbanya” barang naik apabila gaji naik. Apa yang menyedihkan kita, kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat yang bukan kakitangan awam lebih terasa dan membebankan kerana mereka tetap tiada kenaikan RM. Mungkin akan ada dikalangan mereka yang akan jatuh ke tahap miskin atau lebih jauh lagi miskin tegar.

Apapun, cuba fikirkan, apakah akan berlaku sedrastik ini kenaikan harga barang sekiranya harga minyak tidak melonjak naik 30 sen. Dan orang yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak itu adalah “KERAJAAN BN” sendiri.

Apa yang boleh difahami oleh kita, sekiranya kerajaan menaikkan harga tak apa, manakala kalau orang lain menaikkan harga tidak boleh… Selamat menyambut hari kenaikan harga barang..

Categories: Isu Rakyat

Nik Aziz Di Pelawa Sertai BN

May 26, 2007 · No Comments

KOTA BHARU: Sekali lagi UMNO/BN cuba untuk memancing pimpinan PAS dengan menawarkan menyertai UMNO/BN. Terbaru, sasarannya kali ini adalah orang nombor satu dalam PAS, iaitu Mursyidul Amnya, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sebelum ini, beberapa orang Wakil Rakyat  PAS telah ditawarkan dengan pelbagai macam tawaran kebendaan dan pangkat sebagai syarat kalau bersedia berpindah kem. kalau difikir-fikirkan tawaran-tawaran ini sama sahaja sebagaimana puak-puak yang menentang Rasulullah SAW di Mekkah supaya Baginda tidak meneruskan penyebaran Islam. Mereka menawarkan harta, pangkat serta apa sahaja yang Rasulullah inginkan asalkan sanggup bersekutu dengan mereka dan mengikut mereka.

Persoalannya, kenapa kunjungan orang yang berpangkat ini yang umurnya juga sebaya dengan Tok Guru hadir disaat-saat pilihanraya sedang bertiup kencang menghala kepada rakyat? Apakah benar mereka ini wakil Pak Lah atau broker-broker politik yang mencari keuntungan atau kepentingan peribadi mereka?

Walau apapun tanggapan dan telahan kita, ianya adalah serius.  Mereka membawa khabar bahawa Pak Lah juga mahukan Islam. Mereka membawa cerita kerajaan BN adalah kerajaan Islam dan mereka mengajar Tok Guru tentang apa itu nasional dan apa itu nasionalisme. Seolah-olah Tok Guru Nik Aziz tidak faham apa itu dasar UMNO. Cetek serta tohornya pemikiran mereka. Apakah mereka merasakan hanya orang yang lahir dari kalangan UMNO sahaja yang cerdik dan pandai?. Orang lain semuanya bodoh dan tidak faham?.

Dasar UMNO dengan PAS seperti langit dengan bumi bezanya. bukan sahaja boleh dilihat melalui dasar yang digarapkan dalam buku perlembagaan parti masing-masing akan tetapi juga dari segi pelaksanaannya.

Apa yang jelas Islam mengarahkan umatnya atau penganutnya melaksanakan dalam kehidupan mereka dengan “Amar Makruf dan Nahi Mungkar”. Apakah arahan ini menjadi dasar kepada UMNO/BN. fikir-fikirkanlah….

Categories: TG MB

Annuar Musa Paksa Guru Lagi

May 25, 2007 · No Comments

KOTA BHARU: Umno terus terusan menyusahkan rakyat. Minggu lepas UMNO Kelantan di bawah pimpinan Datuk Panglima Hj Annuar Musa telah mengerah seluruh warga guru menghadiri perhimpunan sambutan hari jadi UMNO yang ke 61 tahun di padang sekolah SIC Kota Bharu.

Bagi meramaikan lagi orang yang hadir, majlis juga dihidangkan dengan nyanyian dan lawak jenaka dari artis-artis seperti Salem, Roy Kapilla, pelawak Salam Pantai Timur dan beberapa orang lagi. Tetapi sememangnya UMNO Kelantan sentiasa berada dalam suasana yang malang apabila tidak ramai yang hadir ke majlis tersebut. Ada juga yang rasa tertipu apabila poster yang ditampal di setiap tempat itu menggambarkan seolah-olah Pak Lah si Perdana Menteri akan hadir sama.

Sememangnya Nuar Musa mempergunakan kakitangan dengan memaksa mereka hadir. Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pula menjadi baruanya apabila melaksanakan paksaan ke atas pentadbiran sekolah-sekolah. Persoalannya siapa Nuar Musa nak mengarahkan kakitangan kerajaan?. Menteri Besar? Ketua Jabatan? Menteri atau Timbalan Menteri? Atau debek-debekpun Setiausaha Parlimen?. Apa yang jelas Nuar mempergunakan namanya untuk memaksa guru-guru hadir ke majlis UMNO.

Kasihan para guru. Sudahlah bebanan di sekolah siang malam terpaksa dipikul mereka, kali ini Nuar Musa pula memperalatkan mereka. UMNO dan Nuar Musa memperlakukan para guru seperti budak suruhan atau seperti “kuli batak”. Apa tidaknya kalau mereka tidak hadir, mereka akan disenarai hitam dan akan diambil tindakan. Sebab itulah ramai yang hadir hanya sekadar tandatangan kemudiannya mereka balik.

Nuar kena ingat, para guru adalah orang yang berpendidikan. Jangan anggap mereka “kuli batak” kita. Mereka ada pendidikan dan ada maruah. Tugas besar mereka adalah mendidik generasi baru supaya lebih baik dari masa ke semasa dan bukan menjadi Pak Turut atau diktator yang hanya tahu memaksa orang sahaja.

Oleh itu tidak sepatutnya Nuar memaksa mereka hadir. Kalau nak paksa sangat, paksa ahli UMNO yang dilaung-laungkan ramai jumlahnya itu. Paksa mereka hadir. Kalau tidak hadir pecat mereka dari keahlian. Jangan guru diugut tetapi ahli umno yang dikatakan sejati itu dibiarkan tidak menghadiri perhimpunan UMNO sendiri.

Jangan mengambil kesempatan kuasa yang kamu ada ke atas mereka kerana tindakan tersebut adalah merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan kepada kamu wahai Nuar!. Sedarlah kamu tu sapa. Kamu hanya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan bukannya Perdana Menteri.

Patutlah Annuar bermati-matian mempertahankan Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan yang ada sekarang, rupa-rupanya sememangnya untuk kepentingan politik beliau. Maka tidak syak lagi sekolah-sekolah di Kelantan sedang di UMNOkan oleh Annuar musa bersama baruanya, si pengarah JPN….

Categories: Cerita Nuar Musa